24 NOV: Kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), yang terkorban ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau merasa dukacita apabila mendapat tahu mendiang meninggal akibat terkena tembakan semasa penugasan dalam Op Benteng.
Muhyiddin berkata beliau juga merasa sedih apabila mendapat tahu seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan a/l Tari yang bertugas bersama mendiang ketika kejadian, cedera terkena tembakan di bahagian perut.
“Mendiang dan Norihan adalah frontliners yang bertugas mengawal sempadan negara daripada dicerobohi khususnya ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.
“Pemergian mendiang Koperal Baharuddin merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya di sini, sebentar tadi.
Perdana Menteri juga berharap ahli keluarga mendiang dapat bersabar dengan ujian berkenaan dan berdoa supaya Koperal Norihan cepat sembuh serta dapat kembali bertugas seperti biasa.
“Kerajaan amat menghargai jasa dan pengorbanan mendiang dan Norihan serta semua petugas barisan hadapan negara yang berkhidmat dengan penuh semangat dan dedikasi.
“Saya mendoakan agar anda semua sentiasa berada dalam keadaan selamat dan dilindungi Allah SWT,” katanya.