24 NOV: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) supaya mewujudkan sistem bersepadu dalam pengurusan dan kawalan pengambilan pekerja asing supaya ada kelangsungan data dari satu medan ke medan operasi yang lain merentasi kementerian dan jabatan.
Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, KDN dan KSM hendaklah menentukan semua permohonan untuk kuota pekerja asing dibuat melalui permohonan biasa iaitu menerusi sistem ePPAx dan MyIMMs di mana keputusan permohonan diberikan dalam tempoh masa tertentu yang munasabah.
Menurut beliau, kelulusan khas hanya harus terpakai dalam kes-kes rayuan bermerit atau projek khas negara sebagaimana yang diputuskan oleh Kabinet.
“Secara khususnya KDN tidak boleh mentafsir permohonan yang dihantar kepada Menteri Dalam Negeri tanpa melalui sistem sebagai satu rayuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kah Woh berkata demikian bagi membentangkan laporan PAC berhubung aktiviti kawalan terhadap pekerja asing di bawah KDN dan KSM.
Isu itu adalah sebahagian daripada penemuan audit dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tahun 2018 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen pada 15 Julai 2019 dan PAC memulakan Mesyuarat Prosiding berhubung isu berkenaan pada 10 Oktober 2019.
Beliau menambah, PAC berpendapat tidak seharusnya wujud mana-mana ‘pengantara’ dalam permohonan kuota pekerja asing kepada Menteri Dalam Negeri.
“PAC mengesyorkan satu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap peranan ‘pengantara’ yang terlibat,” jelasnya.
Kah Woh berkata, tiada pengecualian boleh diberikan untuk pengambilan pekerja asing dalam subsektor beku.
Beliau menjelaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga hendaklah mempercepatkan siasatan terhadap dakwaan kecurian dan penyalahgunaan ID Pengguna dalam sistem MyIMMs. – Oleh HUSSAINI AMRAN