25 NOV: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), mendiang Koperal Baharuddin Ramli, yang terkorban dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Padang Besar, Perlis, awal pagi semalam.
Ucapan itu dizahirkan sebelum sesi jawab lisan di Dewan Rakyat bermula hari ini.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada mendiang dan keluarga mendiang,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut merakamkan ucapan sama sebaik memulakan sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi Kementerian Dalam Negeri.
Selain itu, beberapa Ahli Parlimen lain turut menzahirkan ucapan takziah kepada mendiang dan keluarga ketika melakukan celahan pada sesi penggulungan, antaranya Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Bersatu Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris.
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mendiang dari Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand.
Seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, turut parah dalam kejadian itu dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.
Mayat mendiang Baharuddin, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Orang Asli Sungai Sampo, Jempol pada jam 12.20 tengah hari tadi.
Upacara pengebumian mengikut istiadat polis itu turut dihadiri balu mendiang, Relow Ko, 48, tiga anaknya selain bapa, Ramli Derus dan sanak saudara.
Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof dan Timbalan Pengarah KDNKA (PGA) Datuk Kasuahdi Ali.