25 NOV: Jangan meragui sokongan Barisan Nasional (BN) terhadap Belanjawan 2021 dan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana BN tahu untuk bertindak secara bijaksana dengan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan.
“Kegusaran sesetengah pihak tentang sokongan BN terhadap belanjawan 2021 dan pimpinan Muhyiddin tidak perlu diragukan.
“Perkara ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan keputusan kolektif pimpinan dan Ahli Parlimen BN, sebelum ini
“BN juga akan terus membawa suara rakyat, dan pada masa sama akan secara bersepadu menyokong belanjawan negara,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya awal pagi tadi.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata tindakan berkenaan membuktikan solidariti BN semakin perkasa serta hala tuju jelas ditunjukkan oleh Ahmad Zahid dan Dewan Tertinggi BN.
Beliau berkata pucuk pimpinan BN pasti akan terus memperagakan politik matang, bertanggungjawab serta berhemah tinggi.
“Pucuk pimpinan BN, khususnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sentiasa mengamalkan politik matang dengan banyak melakukan ‘engagement’ kalangan pelbagai lapisan kepimpinan parti.
“Yang terpenting beliau mengutamakan konsensus parti. Ini adalah asas yang memungkinkan kepelbagaian pendapat dapat digembelingkan menjadi satu pasukan di mana semua saf pimpinan ada peranan masing masing masing,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI