25 NOV: Sebanyak 40 kluster melaporkan pertambahan kes COVID-19 hari ini dengan tertinggi Kluster Bakti yang berkaitan Penjara Seremban melibatkan 301 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua lagi kluster yang melaporkan kes tertinggi hari ini ialah Kluster D’Bajaru dengan 56 kes dan Kluster Pengkalan Barat, 40 kes.
“Sehingga 25 November, terdapat 339 kluster dilaporkan termasuk lima kluster baru yang dilaporkan pada hari ini.
“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 170 kluster dengan tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Idaman, Kluster Bayu dan Kluster Bah Kota.
“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 169 kluster,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Mengenai kluster baru, Noor Hisham berkata, dua daripadanya dilaporkan di Johor manakala masing-masing satu di Sabah, Selangor dan Terengganu.
Katanya, kluster pertama ialah Kluster D’Bajaru melibatkan daerah Lahad Datu dan kes-kes bagi kluster ini mula dilaporkan positif COVID-19 sejak 11 November lalu hasil saringan komuniti di dua kampung berisiko tinggi.
Jelas beliau, setakat hari ini, sejumlah 609 individu telah disaring di mana 90 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.
“Kluster kedua ialah Kluster Gangsa di daerah Kuala Langat dan kes indeks dikesan hasil saringan di tempat kerja pada 23 November 2020.
“Sehingga 25 November, sejumlah 78 individu telah disaring, di mana 30 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Ini melibatkan satu warganegara dan 29 bukan warganegara,” jelasnya.
Sementara itu, kluster ketiga ialah Kluster Batu Tujuh di daerah Batu Pahat dan Johor Bahru dan kes indeks merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 22 November.
Katanya, sehingga hari ini, sejumlah 144 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.
“Keempat Kluster Tanjung Bunga di daerah Johor Bahru. Kes indeks merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) yang telah dilaporkan positif COVID-19 pada 21 November 2020.
“Sehingga 25 November 2020, sejumlah 87 individu telah disaring, di mana 11 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” ujarnya.
Terakhir katanya, Kluster Kerengge melibatkan daerah Marang dan kes indeks dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 November.
“Sehingga 25 November, sejumlah 680 individu telah disaring, di mana enam kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID