25 NOV: Mendiang Koperal Baharuddin Ramli dan Koperal Norihan Tari yang diserang sekumpulan penyeludup ketika mengawal sempadan Malaysia-Thailand semalam akan dinaikkan serta merta ke pangkat Sarjan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kenaikan pangkat itu berikutan keberanian luar biasa ditunjukkan dua anggota Pasukan Gerakan Am ( PGA) itu.
Katanya, kenaikan pangkat itu juga akan memberi kelebihan kepada ahli keluarga mendiang Baharuddin.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mencadangkan kepada kerajaan supaya mendiang dan Norihan diberi bentuk penghargaan tertinggi dalam bentung pingat keberanian.
“Cadangan pemberian pingat itu juga sudah dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya pada sidang media selepas upacara pengkebumian mendiang di tanah perkuburan Orang Asli Sungai Sampo, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof dan Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Datuk Kasuahdi Ali.
Abdul Hamid berkata, PDRM juga sudah menyampaikan beberapa bentuk sumbangan antaranya insurans berkelompok, koperasi PDRM, tabung amanah perwira, tabung kebajikan Bukit Aman dan sumbangan daripada PGA.
Dalam kejadian pada pagi semalam, mendiang Koperal Baharuddin, 54, yang bertugas di pos sempadan Malaysia – Thailand terbunuh akibat ditembak manakala rakannya, Koperal Norihan, 39, pula mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Pgerlis.
Polis juga telah menahan reman 18 lelaki termasuk tiga warga thailand antara empat hingga tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kejadian itu.