25 NOV: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi jaminan penjenamaan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) akan mengambil kira ruang penjimatan dalam Belanjawan 2021.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana struktur J-KOM akan ditempatkan di daerah-daerah di seluruh negara adalah berbeza berbanding dengan struktur JASA yang dahulunya berada di seluruh kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Saifuddin, berkata kementerian juga akan menggunakan lebih 1,101 buah Pusat Internet Komuniti (PIK) yang terdapat di seluruh negara untuk dijadikan sebagai Pusat Kegiatan Digital berkonsep baharu bagi melaksanakan aktiviti digital J-KOM.
Beliau berkata J-KOM juga akan mengakar-umbikan peranan agensi-agensi KKMM seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC dan CyberSecurity Malaysia yang sekarang hanya berada di peringkat kebangsaan dan negeri sahaja.
“Oleh itu dengan mengambil kira perkembangan semasa maka kerajaan bersetuju untuk menjenamakan semula JASA sebagai J-KOM dengan peranan dan fungsi berbeza.
“Matlamat J-KOM adalah untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat iaitu bagi menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana kepada rakyat, selain mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat.
“Kaedah yang digunakan ialah dengan cara membangunkan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan ‘penghakupayaan komuniti’.
“Tugas utama J-KOM pada masa ini ialah melaksanakan Komunikasi Strategi Pembudayaan Norma Baharu (Covid-19),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata fungsi J-KOM juga berbeza dengan Jabatan Penerangan (JaPen) kerana tugas utama J-KOM pada waktu ini adalah melaksanakan komunikasi strategik membudayakan normal baharu susulan pandemik COVID-19.
“Penubuhan JaPeN pula, bertujuan memberi kefahaman mengenai sesuatu dasar, program dan inisiatif kerajaan dengan memberi keutamaan kepada komunikasi pembujukan melalui pemasaran maklumat di peringkat ‘awareness, interest dan desire’ manakala J-KOM lebih menumpukan kepada pendekatan penghakupayaan sasaran di peringkat tindakan,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin menjelaskan sebenarnya, peruntukan lebih RM85.5 juta untuk menghidupkan dan menjenamakan semula JASA menerusi Belanjawan 2021 bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Ini kerana, Saifuddin berkata sebelum tahun 2019 dan 2020, peruntukan JASA diletakkan di bawah dua (2) kod aktiviti yang berbeza iaitu di bawah kod aktiviti Dasar Sedia Ada JASA dan kod aktiviti Emolumen Kakitangan Kontrak di Bawah KKMM.
“Perbelanjaan JASA di bawah kod aktiviti Dasar Sedia Ada, bagi tahun 2015, 2016, 2017 dan 2018 adalah sebanyak RM23.6 juta; RM26.5 juta; RM31.5 juta dan RM27.9 juta.
“Perbelanjaan di bawah kod aktiviti Emolumen Kakitangan Kontrak di bawah KKMM bagi tahun-tahun yang sama adalah RM54.9 juta, RM54.2 juta, RM53.8 juta dan RM 45.8 juta. Secara keseluruhannya perbelanjaan tahunan JASA bagi tahun-tahun tersebut ialah sebanyak RM78.5 juta, RM81 juta, RM85.3 juta dan RM74 juta,” katanya.
Bagi tahun 2021, Saifuddin berkata anggaran peruntukan J-KOM telah diletakkan keseluruhannya di bawah kod aktiviti JASA iaitu RM4 juta di bawah Dasar Sedia Ada dan RM81,549,200 di bawah Dasar Baru JASA.
“Jadi dalam hubungan ini, anggaran peruntukan untuk JASA tahun 2021 sebanyak RM85.5 juta bukanlah sesuatu yang luar biasa jika dibandingkan dengan peruntukan sebelum ini,” katanya.
Saifuddin berkata bagi tahun 2019, tiada peruntukan kerana JASA telah dibubarkan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu dan dalam tempoh 2019 dan 2020, semua pegawai lantikan kontrak Gred 22 dan ke atas telah ditamatkan.
Berikutan itu, KKMM mengeluarkan surat bertarikh 30 Ogos 2018 memaklumkan penamatan kontrak ke atas 776 orang berkuat kuasa mulai 15 Oktober 2018.