25 NOV: Pelan Pemulihan Pelancongan 2021 melibatkan nilai RM200 juta antara tiga agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan kedua semalam.
Mesyuarat secara telesidang ini disertai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bersama Exco-exco Pelancongan dan Kebudayaan setiap negeri dan wakil jabatan serta agensi di bawah kementerian itu.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, mesyuarat berkenaan merupakan satu platform kerjasama di antara Kementerian dan Kerajaan Negeri yang membincangkan isu dan perkongsian maklumat berkenaan dengan sektor pelancongan dan kebudayaan.
“Mesyuarat pada kali ini membentangkan perkara-perkara berkaitan dengan pelaksanaan program dan projek yang berkaitan dengan Belanjawan 2021 bagi sektor pelancongan dan kebudayaan; Gelembung Perjalanan Domestik dari kawasan zon hijau ke zon hijau; dan Pelan Pemulihan Pelancongan berjumlah RM200 juta tahun 2021.
“Ia merangkumi baucar penginapan, diskaun destinasi pelancongan, diskaun pakej pelancongan keluarga serta penyemarakan seni dan budaya,” kata MOTAC.
Tambah kenyataan itu, MOTAC akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkepentingan dari semasa ke semasa bagi memastikan pembangunan industri pelancongan negara terus rancak berkembang.