25 NOV: Dua lagi rakyat Thailand ditahan pasukan keselamatan pada 7 pagi ini di tembok sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis menjadikan keseluruhan suspek rakyat negara jiran itu yang ditahan berkaitan kes tembak anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) lapan orang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, daripada kesemua lapan suspek berkenaan, empat daripadanya ditahan di Malaysia manakala empat lagi di negara jiran.
“Dua warga Thailand ini kami yakin tidak sempat melarikan diri, oleh kerana tidak ada ruang dan peluang untuk mereka melepasi tembok sempadan. Jadi apabila kami buat sweeping di ladang dan belukar tersebut, terserempak dengan dua orang ini.
“Kami telah bawa mereka untuk soal siasat selanjutnya. Kami juga sedang berunding dan akan mengutuskan permohonan secara rasmi kepada pihak Polis Diraja Thailand supaya keempat-empat (penyeludup) yang ditahan di Thailand itu dapat diserahkan kepada kami untuk diadili,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara pengebumian mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban awal pagi semalam dalam kejadian berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, di Padang Besar, Perlis.
Mendiang selamat dikebumikan pada 12.30 tengah hari dengan penuh tradisi kepolisan.
Upacara pengebumian yang berlangsung dalam keadaan cuaca mendung dan suasana pilu, dihadiri ratusan orang bagi memberi penghormatan terakhir.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop serta pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam kejadian 3.10 pagi semalam, Baharuddin, 54, terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan penyeludup manakala rakannya, Koperal Norihan a/l Tari, 39, mengalami kecederaan parah, dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.
Mendiang yang berasal dari Kampung Sungai Sampo di sini meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berumur antara 18 hingga 32 tahun.