26 NOV: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memberi komitmen untuk menjayakan Agenda Perpaduan Negara (APN) biarpun hanya diberikan peruntukan berjumlah RM423.28 juta dalam Belanjawan 2021.
Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, peruntukan sedia ada akan dimanfaatkan untuk menjayakan APN dan Dasar Perpaduan Negara (DPN)
“KPN akan memanfaatkan dan berusaha bersungguh untuk menjayakan APN dan DPN dengan menggunakan peruntukan sedia ada,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, kementeriannya akan membentangkan draf DPN kepada Kabinet untuk kelulusan dalam masa terdekat.
Beliau menambah, kementerian berharap kewujudan DPN akan memberikan hala tuju yang lebih jelas untuk mengangkat agenda perpaduan negara dengan lebih serius.
Halimah menjelaskan, DPN akan menjadi punca kuasa untuk melaksanakan beberapa program terancang mengenai perpaduan.
“Draf DPN sudah melalui empat siri libat urus bersama pelbagai pihak pemegang taruh termasuk kementerian dan agensi kerajaan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh akademik dan pakar perpaduan.
“Jentera perpaduan yang terdiri daripada Pengarah Perpaduan Negeri, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Pengerusi Sekretariat Rukun Negara (SRN). Sesi konsultasi telah diadakan sepenuhnya secara maya serta melalui maklum balas bertulis,” katanya.
Dalam pada itu, Halimah juga menegaskan bahawa penularan COVID-19 banyak membantu meningkatkan tahap perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
“Situasi perpaduan ketika COVID-19 amat bergantung kepada persediaan dalaman diri dan keyakinan terhadap tindakan pantas kerajaan dalam mengurus dan menjaga kehidupan rakyat ternyata menjadi faktor penting kepada negara untuk menghadapi ancaman COVID-19 ini dengan tenang.
“Majoriti rakyat Malaysia ternyata mempunyai semangat kerjasama dan sifat ingin membantu yang baik telah diterjemahkan melalui perbuatan mematuhi arahan pihak berkuasa, membuat perubahan drastik dalam konteks pekerjaan dan mengurus kehidupan seharian mengikut norma baharu.
“Ini sekali gus menunjukkan tahap perpaduan kita berada pada tahap yang baik dan terkawal negara sedang dilanda musibah yang besar iaitu pandemik COVID-19 dalam negara,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI