26 NOV: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengucapkan tahniah kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah Belanjawan 2021 diluluskan tanpa undi belah bahagi.
Ahmad Fadhli yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen yang mengutamakan agenda pembelaan rakyat dan menunjukkan kerajaan mendengar denyut nadi rakyat.
“Alhamdulillah, tahniah kerajaan PN. Belanjawan 2021 lulus tanpa undi belah bahagi! Setinggi-tinggi tahniah kepada semua Ahli Parlimen yang mengutamakan agenda pembelaan terhadap rakyat.
“Sesungguhnya belanjawan ini mungkin tidak sempurna, tetapi ia adalah yang terbaik untuk kemaslahatan rakyat pada masa ini. Semoga kerajaan juga akan terus mendengar denyut nadi rakyat.
“Sebagaimana kata YB Menteri Kewangan tadi, “penambahbaikan ini bukan hasil usaha saya, tetapi hasil suara tuan-tuan Ahli Parlimen yang berbahas di Dewan ini..” Jom bekerja untuk negara,” dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalanan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya mengumumkan KWSP bersetuju melonggarkan syarat kelayakan pencarum untuk membuat pengeluaran Akaun 1 menerusi skim i-Sinar sekali gus melayakkan lapan juta ahli untuk berbuat demikian.
Tengku Zafrul berkata, kelonggaran itu diberi tanpa mengira sama ada pencarum terbabit terjejas pendapatan akibat hilang pekerjaan atau pekerja yang mengalami pengurangan pendapatan.
Beliau menambah, syarat baharu itu turut merangkumi semua pencarum dalam sektor pekerjaan formal dan bekerja sendiri atau masih aktif mencarum atau sebaliknya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Pemuda UMNO bersyukur kerana kerajaan mendengar luahan hati rakyat berhubung isu pengeluaran RM10,000 dari Akaun 1 KWSP.
“Alhamdulillah, suara rakyat didengari! Segala syarat-syarat ketat pengeluaran Akaun 1 KWSP dimansuhkan dengan mengambil kira semua pencarum yang pendapatannya terjejas iaitu kira-kira 8 juta orang berbanding hanya 2 juta orang sebelum ini dengan kebenaran pengeluaran sehingga maksimum RM10,000,” katanya.