26 NOV: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memanjatkan rasa syukur kepada Allah apabila Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat petang tadi.
Ahli Parlimen Marang itu juga mendoakan semoga rakyat mendapat manfaat terbesar daripada belanjawan ini.
“Alhamdulillah Belanjawan 2021 telah diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
“Diharapkan pelaksanaan bajet disalurkan dengan penuh efisien, adil dan saksama sehingga sampai kepada rakyat,” katanya menerusi Facebook beliau sebentar tadi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berharap persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung tanpa banyak gangguan selepas ini sejajar dengan sokongan majoriti kepada Belanjawan 2021.
Menurut beliau, ada beberapa lagi rang undang-undang (RUU) yang perlu diluluskan selepas ini juga demi kebaikan rakyat dan negara.
“Sudah tentu sokongan kepada Belanjawan 2021 sangat penting dalam usaha kerajaan hari ini menyalurkan bantuan kepada rakyat selain mempunyai pelbagai peruntukan bagi tujuan penting yang lain.
“Saya percaya ahli-ahli Parlimen sedar akan hal ini bahawa Belanjawan 2021 perlu diluluskan untuk rakyat,” ujarnya seperti dipetik Borneo Post.