26 NOV: Kerajaan bersedia untuk memperakukan pegawai perubatan yang berkhidmat secara kontrak dan memenuhi syarat ditetapkan dalam skim perkhidmatan bagi dilantik secara tetap.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata, perkara itu tertakluk kekosongan dan pewujudan jawatan tetap dari semasa ke semasa.
“Kita akan cuba cari jalan untuk (pegawai perubatan kontrak) ditetapkan dan kita mohon Yang Berhormat boleh beri sokongan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menambah, bagi rakyat kelahiran Sabah dan Sarawak, kementerian sememangnya memberi keutamaan kepada mereka untuk dilantik dan mengisi jawatan di negeri kelahiran masing-masing.
Dr Adham memberitahu, KKM sentiasa berusaha menambah jumlah pakar perubatan terutamanya dalam bidang kepakaran kritikal yang sangat diperlukan.
“KKM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyediakan sekitar 1,200 slot pengajian bagi 23 bidang kepakaran untuk Pegawai Perubatan mengikuti program sarjana perubatan.
“Selain itu, KKM juga menyediakan Program Pengajian Kepakaran Parallel Pathway yang meliputi 14 bidang kepakaran buat masa ini,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, sebanyak RM218 juta telah dibelanjakan bagi tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) antara 2017 hingga 2020.
Berhubung Sabah, Dr Adham, Sabah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM356.5 juta tahun lalu untuk kerja menaik taraf kemudahan hospital, penyelenggaraan peralatan serta perolehan kenderaan dan penyelenggaraan kuarters.