27 NOV: Kes baharu COVID-19 kembali meningkat kepada empat angka dengan 1,109 kes dilaporkan di seluruh negara dan 10 daripadanya melibatkan kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan ini menjadikan kes positif COVID-19 yang dikesan di Malaysia kini mencecah 61,861 kes.
Menurut beliau, Sabah masih melaporkan kes harian tertinggi dengan 441 kes atau bersamaan 39.8 peratus daripada keseluruhan kes baru di Malaysia.
Katanya, kedua tertinggi hari ini ialah Selangor dengan 175 kes, diikuti Negeri Sembilan (167) dan Kuala Lumpur, 154 kes.
“Jika digabungkan jumlah kes baru hari ini di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan, ia mencatatkan 496 kes iaitu melebihi jumlah penularan Sabah.
“KKM ketika ini giat menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan Sabah termasuk saringan kontak rapat kes-kes,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Tambah Noor Hisham, jumlah kes sembuh hari ini melebihi kes baru apabila sebanyak 1,148 individu disahkan pulih.
Katanya, ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 yang dirawat di seluruh negara berjumlah 11,307 kes.
“Daripada jumlah itu, 113 individu positif dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 41 memerlukan alat bantuan pernafasan,” jelasnya.
Sementara itu, kes kematian yang berkait COVID-19 bertambah kepada 350 kes apabila dua lagi kematian dilaporkan.
Katanya, kes kematian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 47 tahun di Hospital Labuan.
“Kes kedua juga melibatkan pesakit lelaki berusia 64 tahun di Hospital Labuan. Kedua-duanya mempunyai latar belakang penyakit jantung dan strok,” ujarnya.
Negeri-negeri lain yang melaporkan pertambahan penularan tempatan hari ini ialah Pulau Pinang dengan 64 kes, Perak (42), Kedah (25), Johor (33), Kelantan 5 dan Pahang, tiga.
Melaka, Sarawak, Perlis, Labuan dan Terengganu tidak melaporkan kes baru hari ini. -Oleh M. HERMAN HAMID