27 NOV: Pemuda Sosialis DAP mendesak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta maaf terhadap penyokong Pakatan Harapan (PH) di atas apa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam.
Setiausaha Pemuda DAP, Eric Teh Hoong Keat berkata, Anwar perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan beliau meminta ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak meneruskan undian belah bahagian Belanjawan 2021.
“Sekiranya Anwar masih menegaskan bahawa penilaiannya adalah betul dan tepat, maka pemimpin DAP harus berpisah dengan PKR, tidak lagi bersekutu dengan parti itu.
“Biarlah Pakatan Harapan dibubarkan dan menjalinkan hubungan kerjasama yang paling minimum dengan parti-parti pembangkang yang lain,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Sementara itu, Eric juga membidas Anwar berhubung dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Namun demikian, katanya, Anwar masih tidak dapat memberi bukti ataupun senarai sehingga hari ini.
“Anwar pada awalnya mempunyai peluang untuk mengembalikan semangat Pakatan Harapan dalam Parlimen, tetapi beliau gagal lagi semalam.
“Hal ini juga mengakibatkan krisis perhubungan awam (public relation crisis), menghancurkan kredibiliti PH dan memadamkan api reformasi di kalangan rakyat,” tegasnya.
Anwar dalam reaksi balasnya menjelaskan, peluang masih wujud untuk menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu-minggu akan datang.