27 NOV: Personaliti pondan, Millen Cyrus mencetuskan kontroversi setelah dimasukkan ke dalam penjara dengan seorang lelaki atas tuduhan memiliki dadah di Jakarta, minggu lalu.
Memetik laporan AFP, pihak berkuasa berbuat demikian kerana dokumen pengenalan dirinya menyatakan sebagai seorang lelaki.
Walau bagaimanapun, kumpulan hak asasi Indonesia, Arus Pelangi yang memperjuangkan hak songsang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) membantah tindakan itu.
Pertubuhan itu mendakwa pihak berkuasa mengamalkan diskriminasi terhadap lelaki pondan tersebut.
Millen, 21, berharap dia akan dipindahkan dari penjara induk lelaki.
Pihak berkuasa Indonesia tidak berganjak dari keputusan menempatkan Millen di dalam penjara lelaki.
Namun, mereka kemudian menempatkan lelaki pondan itu di dalam sel bersendirian.
“Status pelaku adalah lelaki seperti yang dinyatakan dalam kad pengenalannya.
“Walau bagaimanapun, mengambil kira keadaan itu, kita menempatkannya di penjara khas sahaja,” kata jurucakap polis Jakarta, Yusri Yunus.