27 NOV: Kerajaan Negeri Selangor bersedia memberi ganjaran RM20,000 kepada orang ramai yang melaporkan aktiviti jenayah alam sekitar melibatkan pencemaran sungai di negeri tersebut.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ganjaran itu akan diberikan sehingga pihak tidak bertanggungjawab berkenaan dapat dihukum berlandaskan undang-undang yang telah ditetapkan.
“Bagi memastikan penglibatan orang awam dalam membanteras kegiatan jenayah alam sekitar di Selangor, Kerajaan Negeri menawarkan ganjaran bernilai RM20,000 untuk maklumat sehingga mereka dapat dihukum undang-undang.
“Maklumat berterusan dan berguna diperlukan supaya penjenayah alam sekitar ini dapat ditangkap dan didakwa sehingga disabitkan kesalahan di mahkamah,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin memberitahu pihaknya telah merangka pelbagai strategi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi meminimumkan kesan pencemaran sungai terhadap warga Selangor.
“Dengan sokongan dan penglibatan orang awam, tanggungjawab bersama untuk memelihara sumber air akan menjadi lebih berkesan.
“Dan diharapkan mampu menggugat kegiatan jenayah tidak beretika ini,” katanya.
Terdahulu, pindaan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) (Pindaan) 2020 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor 9 November lalu menetapkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta kepada pihak didapati bersalah mencemar sumber air di negeri itu.
Selain itu, pindaan RUU berkenaan juga menyaksikan hukuman penjara dijadikan hukuman mandatori bakal menanti pesalah selain mereka juga dikehendaki membayar kos membersihkan kesan pencemaran kepada LUAS.
Pindaan RUU itu diluluskan secara sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam sidang DUN Selangor yang mengambil bahagian membahaskan usul berkenaan.
Cadangan pindaan RUU itu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu untuk menambah baik peruntukan sedia ada termasuk meningkatkan tindakan perundangan dan penguatkuasaan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH