28 NOV: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedar bahawa hubungan antara kedua-dua parti itu mesti diperbaiki.
Perkara itu dibincangkan mereka dalam pertemuan yang diadakan antara Muhyiddin dan Ahmad Zahid beberapa hari lalu.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, usaha-usaha mesti dibuat untuk mewujudkan keakraban antara Bersatu dan UMNO dari peringkat kepimpinan tertinggi hingga ke bahagian dan cawangan.
“Saya tahu usaha ini bukanlah mudah. Tetapi saya yakin inilah jalan yang terbaik,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Bersatu Kali Ketiga yang diadakan secara maya di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau yang juga Perdana Menteri sedar bahawa ada tanggapan yang mengatakan hubungan antara Bersatu dan UMNO agak hambar, tidak mesra dan tidak akrab, seolah-olah belum ada keserasian antara kedua-dua parti.
Muhyiddin menambah, walaupun Bersatu dan UMNO pernah menjadi seteru politik, takdir Allah SWT telah mempertautkan kedua-duanya dalam saf politik yang sama dan menjadi sekutu dalam kerajaan setelah berlaku krisis politik Pakatan Harapan (PH) awal tahun ini.
Walaupun berdepan situasi yang agak sukar dan mencabar, Ahli Parlimen Pagoh itu menyeru kepada semua pihak untuk memikirkan secara mendalam tentang hikmah di sebalik apa yang berlaku.
“Adakah takdir Allah SWT yang mempertautkan Bersatu dan UMNO, termasuk juga PAS, dalam satu saf politik ini berlaku begitu sahaja tanpa ada apa-apa hikmah di sebaliknya? Tidakkah kita terfikir bahawa Allah SWT sebenarnya sedang menguji kita?” soalnya.
Beliau juga percaya bahawa pertautan politik antara Bersatu, UMNO dan PAS dalam saf politik yang sama adalah langkah awal untuk mewujudkan penyatuan ummah yang lebih besar.
“Alangkah baiknya jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah-belah dalam kabilah-kabilah kecil yang melemahkan kita,” katanya.
Beliau menambah, satu lagi perkara yang dipersetujui dengan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) adalah memperkukuhkan hubungan antara Bersatu, UMNO dan PAS.
Muhyiddin berkata, ketiga-tiga parti itu mesti saling memperkukuh dan memperkuatkan antara satu sama lain.
“Tidak boleh berpecah. Tidak boleh bertembung. Tidak boleh memilih haluan yang berbeza,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN