28 NOV: Keputusan kerajaan India yang mengurangkan kadar duti import ke atas minyak sawit Malaysia kelmarin akan meningkatkan eksport komoditi berkenaan ke negara berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau sudah menghubungi rakan sejawatannya, J Subrahmanyam untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada India berhubung keputusan itu.
“Mesej ucap terima kasih kepada rakan saya yang juga Menteri Luar India, J Subrahmanyam atas keputusan kerajaan India kelmarin mengurangkan duti import untuk minyak sawit mentah kepada 27.5 peratus dari 37.5 peratus.
“Insya-Allah, keputusan ini dijangka menambah jumlah eksport minyak sawit ke India sekali gus berupaya meningkatkan lagi harga minyak sawit mentah di negara kita.
“Wisma Putra akan terus usaha yang terbaik demi kepentingan lebih 500,000 pekebun kecil sawit, ahli keluarga serta komuniti setempat! Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan pengguna sawit terbesar dunia, India mengurangkan levi ke atas varieti minyak tropika itu bagi melindungi pengguna di negara berkenaan daripada kenaikan harga global.
Duti ke atas minyak sawit mentah (MSM) diturunkan kepada 27.5 peratus daripada 37.5 peratus, kata Kementerian Kewangan negara itu dalam satu notis pengurangan itu berkuat kuasa mulai Khamis lalu.
Pembelian sawit oleh India, yang mengimport lebih daripada dua pertiga keperluan minyak boleh dimakan, meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan pada bulan lalu