28 NOV: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan apabila pandemik COVID-19 berakhir.
Beliau berkata, mandat akan dikembalikan kepada rakyat agar mereka boleh membuat keputusan untuk memilih kerajaan yang mereka mahu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menambah, tidak perlu bagi pihak tertentu untuk menolak Belanjawan 2021 bagi membolehkan PRU-15 diadakan.
“Kalau tanya saya, mungkin semalam lagi saya telah nasihatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya bubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan.
“Tetapi kita semua tahu masalahnya ialah COVID-19. Insya-Allah, jika diizinkan Allah, apabila pandemik COVID-19 berakhir, kita adakanlah pilihan raya umum,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Bersatu Kali Ketiga yang diadakan secara maya di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin meminta jentera parti melakukan persiapan menghadapi pilihan raya dan latihan mesti dimulakan dari sekarang.
“Jangan kita tunggu di saat akhir untuk melakukan persediaan,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu tentang beberapa pindaan yang akan dibuat terhadap Perlembagaan Bersatu bagi memastikan parti dapat berfungsi dengan lebih baik sesuai dengan realiti semasa.
“Ini termasuklah pindaan fasal-fasal tertentu dalam perlembagaan parti untuk menubuhkan Sayap Ahli Bersekutu,” katanya.
Muhyiddin berkata, pindaan itu adalah satu lonjakan utama dalam proses pematangan parti kita sebagai sebuah parti pribumi yang bersifat terbuka dan inklusif dalam sebuah masyarakat majmuk yang demokratik, harmoni dan bersatu-padu. – Oleh HUSSAINI AMRAN