29 NOV: Bekas pengarah di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut, manakala isterinya cedera diserang perompak bersenjatakan parang di kediaman mereka di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di ibu negara awal pagi tadi.
Mangsa, Wan Hassan Wan Embong, 71, maut akibat mengalami kecederaan pada muka dan leher.
Difahamkan, mangsa tinggal bersama isterinya yang juga seorang pesara di kediaman banglo dua tingkat itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, berdasarkan maklumat, dua lelaki bersenjatakan parang memecah masuk rumah mangsa.
“Mangsa cedera ditetak suspek di bahagian leher dan badan manakala isteri ditetak di bahagian tangan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Sementara itu, kata Nik Ros pihaknya dimaklumkan kejadian terbabit selepas menerima panggilan daripada anak mangsa memaklumkan rumah ibu bapanya dipecah masuk dua lelaki bersenjatakan parang pada jam 4.01 pagi.
Sepasukan anggota polis yang tiba mendapati mangsa telah meninggal dunia, manakala isterinya pesara guru cedera di bahu kanan.
Menurut keterangan isteri mangsa, dia memberitahu, suspek memecah masuk kira-kira jam 3.30 pagi sebelum suaminya turun selepas terdengar bunyi bising di bahagian dapur.
Ketika itu, mangsa bertembung dengan suspek yang kemudian meminta duit dan menyerang mangsa serta isteri.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isteri cedera parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.
Suspek dipercayai melarikan barang berharga dalam kediaman tersebut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan polis sedang giat mengesan suspek.