Polis berjaya menahan suspek yang menyamun dan menetak bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, sudah ditahan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid ketika dihubungi mengesahkan penahanan mereka.
Menurutnya, mereka ditahan selepas usaha memburu suspek dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah kita percaya kes bunuh dan samun ini dapat diselesaikan.
“Maklumat lanjut akan dimaklumkan nanti,” katanya.
Media semalam melaporkan, Wan Hassan yang maut ditetak perompak dalam kejadian rompakan di Bukit Bandaraya, di sini.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi, rumah dihuni mangsa dan isteri, Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.
Suspek yang tidak memakai topeng meminta duit menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Assisten Komisioner Anuar Omar, mengesahkan sehingga kini 10 individu yang disyaki terbabit dalam dua kes samun termasuk rumah Dr Wan Hassan.
Anuar berkata kesemua suspek termasuk suspek utama itu ditahan menerusi beberapa siri serbuan oleh sepasukan polis.
“Ya ada tangkapan, setakat semalam 10 orang termasuk suspek utama kes ini,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita, hari ini.
Satu sidang media oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mengenai kes dan tangkapan itu dijangka diadakan, hari ini.