30 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan dua lokasi di Ipoh, satu lokasi di Sandakan dan satu lokasi di Lahad Datu dalam masa terdekat.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Ipoh melibatkan Zon A, Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah akan bermula esok hingga 14 Disember.
Beliau menambah, di Sandakan, PKPD akan berkuat kuasa di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga mulai 2 Disember hingga 15 Disember ini.
“Pelaksanaan PKPD di Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru, Lahad Datu bermula 2 Disember 2020 sehingga 15 Disember 2020,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutan PKPD di Asrama Pekerja Top Glove selama 14 hari bermula esok hingga 14 Disember.
Sementara itu, beliau memberitahu, PKPD di dua lokasi iaitu Putra Point Nilai dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiyah, Padang Rengas berakhir hari ini.
Dari segi penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 741 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP).
“Daripada jumlah itu, seramai 720 individu dikenakan kompaun manakala 21 orang direman,” jelasnya.
Menurut beliau, pasukan keselamatan juga berjaya menahan seramai 27 pendatang asing tanpa izin dalam Op Benteng di seluruh negara. – Oleh HUSSAINI AMRAN