30 NOV: Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) telah meluluskan seramai 22,581 pelatih dengan melibatkan peruntukan RM55.67 juta setakat 20 November lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, daripada jumlah itu, seramai 4,065 pelatih berjaya menamatkan latihan.
“Di bawah inisatif ini, sebanyak 35 pusat latihan telah pun diluluskan di mana Kuala Lumpur mencatatkan jumlah penyedia latihan tertinggi iaitu 45.7 peratus, diikuti dengan Selangor (28.6 perartus) dan Pulau Pinang (11.4 peratus),” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bebas Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung Program Kursus Pembangunan Usahawan B40 yang dijalankan oleh HRDF.
Awang menambah, HRDF mempunyai lebih 4,000 penyedia latihan yang berdaftar dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,200 penyedia latihan telah diluluskan bagi mengikuti program di bawah inisiatif PENJANA HRDF.
Berhubung skim Pembangunan B40, beliau memberitahu, program tersebut bertujuan melengkapkan golongan pekerja yang terdiri daripada kategori B40 dengan kemahiran dan pengetahuan khusus melalui latihan berkemahiran tinggi dan memperoleh kemahiran keusahawanan seterusnya meningkatkan pendapatan dalam pelbagai industri.
“Dari segi caj kursus yang diluluskan oleh PSMB, ianya terbahagi kepada dua elemen iaitu, yuran kursus dan juga kit permulaan yang diberikan kepada pelatih setelah menamatkan latihan.
“Caj kursus ini boleh melebihi RM5,000 bergantung kepada tempoh masa kursus berkenaan dijalankan dan juga kit permulaan yang diberikan kepada para pelatih. Secara purata, yuran kursus bagi seorang pelatih di bawah program ini adalah sebanyak RM5,000,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN