30 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki Palestin cedera akibat tembakan peluru getah oleh tentera rejim Zionis Israel di Silwad, Ramallah petang Sabtu lalu.
Memetik laporan Palestinian Information Center, sumber berkata, mangsa ditembak dalam pertembungan antara penduduk dan tentera rejim di bandar itu.
Kanak-kanak lelaki terbabit menerima pertolongan cemas oleh petugas perubatan di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital.
Sementara itu, tentera rejim Zionis Israel menyerbu kampung Enata di timur laut Jerusalem pada hari yang sama.
Mereka menggunakan alasan untuk mencari pemuda yang melontarkan batu ke arah kenderaan milik pendatang haram Yahudi.
Tentera rejim telah menutup jalan utama berhampiran Enata dan menempatkan askar di kawasan sekitarnya.