30 NOV: Pakatan Harapan (PH) sekali lagi gagal dalam usaha menolak peruntukan bagi Kementerian Kewangan menerusi Belanjawan 2021 setelah undi belah bahagi bagi kelulusan peringkat jawatankuasa tidak memihak kepada mereka.
Seperti yang diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, majoriti Ahli Parlimen iaitu 107 orang menyokong manakala 95 orang lagi tidak bersetuju.
Seramai 18 Ahli Parlimen tidak hadir ketika undi belah bahagi dilakukan.
Sebelum itu, Ahli Parlimen PH Kota Raja, Mohamad Sabu meminta undi belah bahagi dilakukan setelah undian suara diumumkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Mohd Rashid membenarkan undian belah bahagi dilakukan selepas mendapati 15 Ahli Parlimen menyokong cadangan Mohamad.
Terdahulu, PH juga gagal menolak peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri setelah undi belah bahagi mendapati seramai 105 Ahli Parlimen menyokong untuk meluluskannya berbanding 95 orang tidak bersetuju.
Mohamad juga didengar menyatakan bahawa pembangkang akan meminta undi belah bahagi dilakukan sebelum peruntukan bagi setiap 27 kementerian dapat diluluskan di peringkat jawatankuasa.
Beliau juga seolah-olah tidak peduli sekiranya pembangkang gagal dalam semua undi belah bahagi yang dijalankan. – Oleh HUSSAINI AMRAN