30 NOV: Polis akan menahan sekali lagi ustaz selebriti yang sebelum ini telah direman atas tuduhan merogol seorang gadis di Shah Alam minggu lalu kerana dakwaan terbaharu termasuk rogol, mencabul dan mendatangkan kecederaan.
Ini berikutan, polis menerima enam lagi laporan melibatkan lelaki tersebut termasuk daripada seorang guru berusia 22 tahun yang mendakwa diperkosa oleh pendakwah selebriti tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata pihaknya menerima lima laporan itu di Shah Alam dan satu di Petaling Jaya.
“Suspek itu akan tamat reman untuk kes pertama pada esok. Namun, berikutan terdapat beberapa laporan baharu diterima hari ini, polis akan mohon reman ke atas suspek untuk siasatan kes yang baru diterima.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) kerana rogol, 354 KK (cabul), 377C KK (seks luar tabii) dan 323 KK (mencederakan).
“Polis menyeru sekiranya ada wanita lain yang menjadi mangsa supaya jangan berasa bimbang tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tedahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, bagi kes cabul, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 22 tahun pada 3.51 petang semalam, mendakwa dicabul lelaki berusia 25 tahun yang juga ustaz selebriti.
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi pada 17 Oktober lalu, penuntut kolej swasta itu dipelawa suspek ke rumahnya di Damansara Perdana, untuk mengajar mengenai pemasaran perniagaan.
“Semasa di rumah suspek, mangsa dicabul selain turut dipaksa melakukan seks oral.
“Berikutan itu mangsa mengalami trauma dan kini mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertindak atas laporan, beliau berkata, pihaknya menahan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek masih ditahan reman bersabit laporan kes rogol yang diterima Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam dan akan berakhir esok.
Sementara itu, katanya, seorang guru berusia 22 tahun pula tampil membuat laporan hari ini mendakwa menjadi mangsa rogol pendakwah selebriti yang ditahan polis di Shah Alam minggu lalu.
Nik Ezanee berkata, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Damansara ke atas suspek.
Media sebelum ini melaporkan, pendakwah selebriti ditahan polis bagi membantu siasatan kes dakwaan merogol seorang gadis, tahun lalu.
Suspek ditahan kira-kira jam 11 malam pada 26 November selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Berdasarkan laporan mangsa yang berusia berusia 23 tahun, dia dipercayai keluar dengan suspek yang dikenali menerusi Instagram kira-kira 8 malam, 11 September tahun lalu.
Suspek pernah menyertai sebuah rancangan realiti keagamaan pada 2016 sebelum popular sebagai penyanyi dan pelakon.