30 NOV: Pakatan Harapan (PH) gagal menolak kelulusan peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2021 apabila undi belah bahagi menyaksikan sebanyak 105 Ahli Parlimen bersetuju berbanding 95 orang yang tidak bersetuju.
Keputusan itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam sidang hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 20 Ahli Parlimen tidak hadir semasa pengiraan undi belah bahagi dijalankan.
Terdahulu, Ahli Parlimen PH Kota Raja, Mohamad Sabu meminta supaya undi belah bahagi ketika undian suara dilaksanakan selepas selesai sesi penggulungan peringkat jawatankuasa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ekonomi), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Hal Ehwal Agama), Datuk Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang) dan Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).
Azhar membenarkan undi belah bahagi dilakukan setelah 15 Ahli Parlimen bangkit menyokong cadangan tersebut.
Situasi panas tercetus seketika semasa pengiraan undi dilakukan apabila pembangkang mendakwa seorang Ahli Parlimen masuk dewan setelah tempoh pengiraan berakhir.
Pertikaman lidah seterusnya tercetus selama beberapa minit antara penyokong kerajaan dan wakil pembangkang.
Walaupun pembangkang berterusan melalukan kekecohan, Azhar tidak melayan kerenah mereka dan mengumumkan keputusan undi belah bahagi yang tidak memihak kepada PH. – Oleh HUSSAINI AMRAN