30 NOV: Keadaan kesihatan Sarjan Norihan Tari, 39, yang cedera parah ditembak di sempadan Malaysia-Thailand Selasa lalu dilaporkan semakin baik.
Pegawai Pemerintah Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Superintendan Rosman Kasman, berkata berdasarkan maklumat yang diterima daripada isterinya, Norihan sudah boleh bercakap dan minum.
Walau bagaimanapun, katanya Norihan yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) hanya dapat berbaring dan masih tidak boleh makan makanan pepejal.
“Sehingga kini beliau tidak boleh menerima pelawat lagi dan diminta doktor untuk berehat sepenuhnya selepas kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi, Selasa lalu, Norihan dan rakannya, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terbabit dalam insiden berbalas tembakan bersama penyeludup sewaktu melakukan rondaan berhampiran Pos TS9 Padang Besar, Perlis.
Mendiang Baharuddin terkorban selepas terkena tembakan, manakala Norihan yang parah sempat keluar bagi mendapatkan bantuan sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.