30 NOV: Penyelidikan kes jenayah di luar negara harus dipertingkatkan dengan segera oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mengetahui ancaman-ancaman daripada pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pencerobohan di negara ini.
Ahli Parlimen PAS Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata ini perlu dilaksanakan agar maklumat suspek yang melakukan jenayah di Malaysia dapat segera dikesan dan dilaksanakan tangkapan untuk diambil tindakan undang-undang.
“Kita semua sedia maklum bahawa penyelidikan kita di peringkat luar negara untuk kita mengetahui ancaman dari pihak tidak bertanggungjawab yang masuk ke negara kita. Contoh, baru-baru ini seorang anggota keselamatan kita meninggal dunia yang sangat kita simpati.
“Namun, kita tiada sumber maklumat yang tepat dan cepat tentang pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab yang masuk ke dalam neagra kita dan kalau kita lihat negara kita menjadi sarang-sarang kepada orang-orang yang melarikan diri, masuk dalam negara mereka duduk dalam negara dan lebih parah melakukan kerja-kerja jenayah di dalam negara kita,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa di sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Nik Muhammad Zawawi yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) memberitahu kerajaan diharap dapat mempertimbangkan memberikan peruntukan khas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melaksanakan program-program yang mampu mengelakkan jenayah berbentuk perkauman dan keganasan agama.
“Di dalam negara kita Allah anugerahkan kaum-kaum dan agama berbagai-bagai namun kadangkala berlaku kepincangan yang menyebabkan tercetusnya jenayah berbentuk perkauman, keganasan yang berfokus pada agama cuma saya ingin sebut iaitu ialah peranan kerajaan yang perlu kepada satu peruntukan khas kepada MKN supaya dia mengawal selia perkara ini dengan sebaik mungkin.
“Sebab apa kita lihat secara umumnya tiada satu program-program yang besar yang dibuat pihak kerajaan untuk memberi kefahamanan kepada kaum yang berbagai-bagai supaya mampu hidup dengan aman damai,” katanya.
Dalam pada itu, Nik Muhammad Zawawi juga berharap agar kerajaan dapat memartabatkan peranan dan fungsi mahkamah syariah agar ianya setanding dengan peranan dan tanggungjawab mahkamah sivil.
“Diperuntukkan RM61 juta, saya ingin tanya kedudukan mahkamah syariah negara yang saya kira sangat tidak adil berbanding mahkamah sivil. Sejauh mana usaha pihak kerajaan dibuat melalui peruntukan ini untuk memartabatkan mahkamah syariah supaya paling kurang sama taraf dengan mahkamah sivil yang ada,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH