1 DIS: Akibat mengutamakan politik berbanding kepentingan rakyat, hampir satu juta pekebun kecil di seluruh negara nyaris menjadi mangsa tindakan Pakatan Harapan (PH) di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, namun Alhamdulillah, percubaan pembangkang untuk menolak bajet kementerian ini di peringkat jawatankuasa gagal.
.Katanya, ini apabila 108 ahli Parlimen menyokong bajet Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berbanding 95 orang yang menolak termasuk mantan Menteri dan Timbalan Menteri zaman PH.
“Hampir satu juta pekebun kecil seluruh Malaysia boleh menilai niat buruk mereka menggagalkan bajet untuk penoreh getah iaitu Insentif Pengeluaran Getah (IPG) RM300 juta dan Insentif Pengeluaran Lateks RM16 juta.
“Ini juga termasuk insentif untuk pekebun kecil sawit menerusi program persijilan minyak sawit RM20 juta. Mereka juga menolak dana RM20 juta untuk menghadapi kempen anti sawit.
“Mereka cuba menggagalkan bajet RM30 juta untuk geran padanan mekanisasi dan automasi untuk sektor sawit,” katanya dalam kenyataan akhbar ini.
Tambah Khairuddin, 95 ahli Parlimen PH dan pembangkang berkenaan juga menghalang untuk para pengeluar bekalan kayu negara mendapat dana pinjaman untuk projek perladangan hutan RM500 juta.
Selepas undian suara meluluskan bajet dua kementerian pada perbahasan peringkat jawatankuasa hari ini, blok ahli Parlimen PH secara tiba-tiba meminta diadakan undi belah bahagian.
Bagaimanapun, seperti diketahui, PH dan pembangkang yang tidak mempunyai majoriti di Dewan Rakyat sekali lagi digagalkan dalam usaha mereka untuk menggagalkan Belanjawan 2021.