1 DIS: Kerajaan tidak bercadang untuk membenarkan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibahaskan dalam Dewan Rakyat, seperti yang dilakukan tahun lalu.
Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, laporan tersebut boleh dibahas secara tidak langsung namun tidak menjadi keutamaan kerajaan disebabkan ekonomi dan kebajikan rakyat adalah lebih penting.
“Berdasarkan Seksyen 21 sebagaimana kertas statut yang lain, maka kertas statut nombor 88 tahun 2020 telah pun dikemukan dan diletakkan kepada Ahli-Ahli Parlimen sebagai risalat yang di bawa ke dalam majlis.
“Namun, kerajaan menyatakan bahawa sekiranya ada ahli-ahli Parlimen berminat untuk membahaskan perkara ini secara tidak langsung, mereka boleh memetik laporan di dalam kandungan-kandungan yang ada dalam laporan ini untuk dijadikan perbahasan yang sesuai dalam masa sesuai.
“Buat masa ini, kerajaan belum bercadang untuk membuka atau membawa satu usul untuk membahaskan laporan ini memandangkan urusan-urusan kerajaan perlu didahulukan sebagaimana standing order dan tidak mempunyai masa yang mencukupi,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil tentang sama ada kerajaan berniat membenarkan laporan tahunan Suhakam dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH