1 DIS: Beberapa langkah penambahbaikan dan kelonggaran prosedur berkaitan pelaksanaan projek pembangunan yang berkuat kuasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula akan diteruskan tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, langkah-langkah tersebut telah memberi kesan positif terhadap pelaksanaan projek.
Menurut beliau, antara langkah-langkah tersebut adalah pelaksanaan kaedah prakelayakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan memendekkan tempoh surat setuju terima (SST) dari enam bulan ke tiga bulan.
“Selain itu, melonggarkan peraturan berkaitan perolehan kerajaan dan mewujudkan mekanisme pemantauan khusus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mustapa mengulas tentang Mesyuarat Pelan Perancangan Pelaksanaan Projek Pembangunan bagi tahun 2021 hari ini yang dipengerusikan secara bersama oleh beliau dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Beliau menambah, mesyuarat tersebut turut mengarahkan semua kementerian untuk mengemukakan perancangan pelaksanaan projek pembangunan untuk 2021 kepada pejabat Ketua Setiausaha Negara sebelum 31 Disember ini.
“Perancangan ini termasuklah jangkaan tarikh untuk panggilan tender, tarikh bermula pelaksanaan. Ia juga dikehendaki mengenal pasti beberapa masalah yang mungkin timbul,” jelasnya.
Mustapa turut menyatakan komimen kerajaan untuk memastikan semua projek yang dirancang untuk rakyat dapat dilaksanakan segera.
“Projek-projek sambungan dan baharu ini adalah penting untuk kesejahteraan rakyat dan untuk menggerakkan ekonomi. Ia juga akan dapat merapatkan jurang pembangunan antara wilayah,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN