1 DIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM216.7 juta bagi 15 projek menyediakan kemudahan bekalan air dan elektrik luar bandar (BAELB) di Sabah tahun ini.
Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, sejumlah RM88.8 juta sudah pun dibelanjakan sehingga Oktober 2020 atau kira-kira 40 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan berkenaan.
“Bagi bekalan air luar bandar jumlah peruntukan disalurkan ialah RM235 juta membabitkan 63 projek dengan wang dibelanjakan ialah berjumlah RM71.8 juta iaitu jauh daripada sasaran sebenar,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bersatu Sipitang, Yamani Hafez Musa yang meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan jumlah peruntukan yang disediakan bagi menyediakan kemudahan bekalan air dan elektrik luar bandar di Sabah tahun ini.
Yamani Hafez juga meminta KPLB menyatakan apakah kesemuanya sudah dibelanjakan serta jumlah ramai rakyat yang mendapat manfaatnya.
Mengulas lanjut, Dr Abdul Latiff berkata kementerian akan melaksanakan projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak berdasarkan perubahan dan pertambahan penduduk dari semasa ke semasa.
“Dengan adanya kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN), begitu juga kerajaan Persekutuan maka projek pembangunan lebih mudah dilaksanakan dan direalisasikan.
“Malah, dalam Belanjawan 2021 kerajaan menyalurkan peruntukan khusus untuk negeri Sabah dan Sarawak, selain menerusi KPLB,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI