Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menganjurkan Anugerah Buku PNM 2020 yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi Facebook Rasmi PNM pada 30 November 2020.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam ucapannya secara maya berkata, penganjuran Anugerah Buku PNM 2020 merupakan wadah terbaik untuk menobatkan buku-buku bermutu dalam senarai terbitan tempatan serta mengangkat karya terbaik Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Di samping itu, anugerah ini memberi penghargaan atas sumbangan pemain industri perbukuan yang terdiri daripada penulis, penerbit, pembaca dan persatuan terhadap pembangunan buku negara.
Selain daripada itu, program seperti ini adalah penting dalam memartabatkan ilmu dan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.
“Anugerah ini juga adalah untuk menggalakkan penyerahan buku kepada Perpustakaan Negara Malaysia di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) sebagai khazanah warisan bangsa dan negara serta menjadi pemangkin dan sokongan kepada inisiatif Industri Kreatif Negara selari dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020).
“Berdasarkan rekod statistik, judul buku baharu yang didaftarkan di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) pada tahun 2019 adalah sebanyak 18,566,” jelas Nancy.
Penganjuran pada kali ini telah menerima penyertaan yang memberangsangkan dengan jumlah pencalonan keseluruhan yang diterima oleh PNM adalah sebanyak 364 judul bagi kategori dewasa dan kanak-kanak yang merangkumi terbitan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
Walau bagaimanapun, hanya 164 judul sahaja berjaya melepasi kriteria dan syarat yang ditetapkan. Seramai 22 orang pemenang iaitu 11 penulis dan 11 penerbit memenangi wang tunai bernilai RM3,500 setiap seorang beserta trofi dan sijil penghargaan.
Justeru, para penerbit, penulis, pencetak dan semua pemain dalam lingkungan industri perbukuan diseru meneruskan inisiatif bagi menghasilkan karya terbitan yang berkualiti agar dapat membina sebuah masyarakat Malaysia berilmu yang maju dan berpendapatan tinggi.
Nancy berharap agar agensi berkaitan dapat menerbitkan lebih banyak karya penulisan dan penerbitan buku terjemahan berkaitan bidang seni, budaya, warisan dan pelancongan ke dalam bahasa asing.
Usaha ini sememangnya dapat menarik minat masyarakat antarabangsa mengenali budaya masyarakat majmuk dan dapat mengetahui destinasi pelancongan di Malaysia sekaligus dapat menarik minat golongan pencinta buku atau literary tourist untuk melancong ke destinasi menarik di negara Malaysia.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)