1 DIS: Selepas seminggu menerima rawatan akibat cedera parah ditembak penyeludup di Pos Sempadan Malaysia-Thailand, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan Tari kini sudah boleh bernafas sendiri tanpa bantuan alat pernafasan.
Malah, wira negara itu yang parah akibat ditembusi tiga peluru di tubuhnya dalam insiden 24 November lalu juga sudah boleh berjalan dengan bantuan peralatan ‘walker frame’.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, anggota yang sedang menerima rawatan wad biasa di Hospital Pulau Pinang (HPP) itu menunjukkan perkembangan yang sangat psoitif.
“Menurut doktor merawat Norihan, anggota itu sudah boleh bernafas sendiri tanpa bantuan alat pernafasan malah beliau juga boleh minum dan makan makanan bertekstur lembut, selain itu, Norihan juga sudah boleh berjalan dengan bantuan ‘walker frame’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norihan, 39, yang dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis ke HPP Rabu lepas selamat menjalani pembedahan mengeluarkan dua daripada tiga butir peluru di dalam badannya.
Dalam insiden pada 2.30 pagi itu, Norihan dan Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berdepan kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.
Baharuddin dan Norihan yang terbabit dalam pengumpulan maklumat, terserempak dengan kira-kira 13 penyeludup sebelum berlakunya insiden berbalas tembakan itu.
Baharuddin terbunuh manakala Norihan mengalami kecederaan parah. Kedua-dua mereka adalah anggota Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA, yang terlibat dalam Op Benteng.