1 DIS: Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar hari ini diluluskan setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Parlimen yang bersetuju berbanding yang sebaliknya.
Situasi itu agak mengejutkan memandangkan pembangkang sebelum ini bertekad untuk meminta undi belah bahagi dilakukan sebelum peruntukan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kesemua 27 kementerian diluluskan di Dewan Rakyat.
Semalam, undi belah bahagi dilaksanakan sebelum peruntukan diluluskan bagi Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya berkata, kerjasama antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) adalah atas dasar hubungan dua hala antara dua negara yang bebas dan merdeka.
“AS mempunyai dasarnya dan tindakannya dan kita mempunyai dasar kita yang bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kuasa besar atau tidak.
“Jadi, oleh sebab itu atas pendirian tersebut, jika ada tindakan mana-mana negara yang tidak berpuas hati, kita mungkin beri pandangan dan gesaan kita. Jadi, kita tidak perlu memberikan pengisytiharan berkaitan dengan negara pada keseluruhan atau pada umumnya,” katanya.
Berhubung status terkini pertikaian sempadan perairan Laut China Selatan, Kamarudin memberitahu, proses perbincangan antara Malaysia dan China masih lagi berjalan dan pelbagai cara dilakukan bagi menyelesaikan tersebut.
Walaupun tidak mudah, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetap komited menyelesaikan isu yang menimbulkan kerunsingan rakyat itu.
“Ada dibuat tindakan dan memberi kesan tertentu tetapi masih lagi terhad. Jadi operasi dan usaha akan terus berjalan di peringkat diplomasi dan lain-lain.
“Kita memilih perhubungan diplomasi melalui nota-nota diplomasi tetapi tidak menutup ruang untuk kita bertindak apabila keadaan memerlukan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH