2 DIS: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus dan mereka yang tiada caruman sejak dua bulan lalu layak memohon pengeluaran Akaun 1 menerusi program i-Sinar.
Menurut kenyataan KWSP hari ini, pengeluaran dibenarkan sehingga 10 peratus bagi mereka yang mempunyai lebih RM100,000 dalam Akaun 1, tertakluk maksimum RM60,000 atau maksimum RM10,000 bagi ahli yang mempunyai baki RM100,000 atau kurang.
Tambah KWSP, bagi ahli yang mempunyai baki Akaun 1 RM100,000 dan ke bawah, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.
Bagi ahli yang mempunyai baki lebih RM100,000 pula, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.
Berdasarkan kenyataan KWSP itu, terdapat dua kategori ahli yang layak dengan Kategori 1 melibatkan ahli yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.
“Kriteria bagi Kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan ATAU ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.
“Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP.
“Ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020. Pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021,” kata KWSP.
Bagi Kategori 2 kata KWSP, kategori ini adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas iaitu termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020.
“Ini yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan. Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli.
“Ia melibatkan slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan / atau tuntutan kerja lebih masa.
“Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan,” kata kenyataan itu.
Tambah KWSP, bagi kategori ini, ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021.
“Untuk memastikan permohonan dipertimbangkan dengan terperinci, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat.
“Pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi,” kata kenyataan itu.
Kira-kira lapan juta ahli KWSP dijangka layak membuat permohonan i-Sinar.
KWSP dalam pada itu berkata, bagi memastikan kelancaran proses permohonan, ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima Transaction Authorisation Code (TAC) di kios atau kaunter KWSP, dan memastikan nombor akaun bank mereka adalah aktif. -Oleh M. HERMAN HAMID