2 DIS: Polis telah mengambil tindakan ke atas seorang individu yang mengeluarkan kata-kata kesat serta meludah pekerja wanita selepas berang ditegur tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Ipoh Isnin lepas.
Lelaki dalam kes itu yang turut tular di media sosial telah ditahan dan dikompaun.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Polis, A Asmadi Abdul Aziz berkata, piaknya menahan lelaki berusia 47 tahun itu pada 8.45 malam tadi selepas menerima laporan daripada mangsa kira-kira 2.50 petang semalam.
Katanya, dalam kejadian 8.40 malam pada Isnin lepas di sebuah kedai runcit di Lahat, wanita itu bertindak menegur suspek yang merupakan pelanggan kedai runcit berkenaan kerana melanggar SOP ditetapkan.
“Apabila ditegur, suspek mengeluarkan kata-kata makian serta meludah mangsa dan hampir mencetuskan pergaduhan sebelum berjaya dihalang oleh pekerja lain,” katanya dalam kenyataan hari ini sebagai mengulas insiden itu yang tular di media sosial.
Katanya siasatan mendapati suspek memiliki tiga rekod lampau berkaitan kes jenayah dan mengaku berada dalam keadaan mabuk semasa kejadian.
Sehubungan itu kata beliau kes tersebut dianggap selesai dan orang awam dinasihati supaya tidak menularkan rakaman video kejadian berkenaan yang boleh mendatangkan kemudaratan dan menggugat keharmonian antara kaum.