2 DIS: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Transparency International (TI) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, susulan laporan terbaharu mengenai rasuah negara.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, TI yang menerbitkan Laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020 perlu memberikan taklimat kepada PAC berhubung perkara itu.
Katanya, terbitan itu juga perlu diulas oleh Azam seterusnya menyatakan hala tuju SPRM dalam memerangi rasuah dan meningkatkan integriti pentadbiran awam negara.
“PAC memandang serius laporan yang diterbitkan TI yang mendapati 71 peratus rakyat Malaysia merasakan rasuah dalam kerajaan satu masalah besar dan 39 rakyat juga merasakan kegiatan itu meningkat dalam tempoh 12 bulan yang lalu.
“Malah 30 peratus juga merasakan kerajaan tidak melakukan terbaik dalam memerangi rasuah serta 13 peratus rakyat pernah memberi wang suapan dalam perkhidmatan awam dalam tempoh 12 bulan yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kah Woh menambah, laporan tersebut juga menunjukkan kadar kepuasan terhadap SPRM pula berada pada paras 74 peratus.
Beliau memberitahu, PAC berpandangan bahawa angka itu menunjukkan ketidakyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran awam negara serta anggota pentadbirannya.
“Faktor-faktor yang menyumbang kepada situasi ini harus dikenal pasti dan usaha ke arah membanteras rasuah perlu dipertingkat.
“Keberkesanan Pelan Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACP) juga perlu dikaji untuk memandangkan tempoh soal selidik laporan ini dalam tempoh masa pelaksanaan NACP,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI