2 DIS: PAS berpandangan bahawa UMNO berhak bertanding menggunakan lambang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memandangkan parti itu telah membuat keputusan tidak menyertai Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, apa yang penting adalah tidak berlaku pertembungan antara BN dan PN kelak.
“Dari segi struktur politik, UMNO tidak menyertai PN. Bagi saya, kenyataan tersebut (guna lambang BN) tiada masalah kerana yang penting adalah sokongan,” katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, parti itu akan menggunakan lambang BN dalam PRU-15 susulan keputusan tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai salah satu komponen.
Ismail Sabri juga menegaskan bahawa persetujuan telah dicapai supaya tiada pertembungan berlaku memandangkan PAS juga menyertai PN bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada masa yang sama, Mohd Amar memberitahu, jaminan UMNO bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara BN dan PN adalah memadai.
“Jika UMNO bersama PN, ia lebih baik dan kemas hubungan ini namun kenyataan UMNO yang mengatakan tidak akan berlaku pertembungan antara BN dan PN, pun sudah cukup baik.
“Kita tidak mahu bertembung sesama sendiri namun kalau duduk bersama, lagi baik. Walaupun hakikatnya kita mengharapkan lebih, tapi itu hak dia (UMNO). Saya tidak boleh komen,” jelasnya.