3 DIS: Tiada keperluan untuk mendesak kerajaan meningkatkan usia persaraan penjawat awam kepada 65 tahun, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat.
Beliau berkata, umur persaraan penjawat awam pada usia 60 tahun ketika ini dilihat masih munasabah dan relevan.
“Had usia persaraan penjawat awam sudah tiga kali diubah dalam tempoh 20 tahun iaitu 55 kepada 56 tahun pada 2001.
“Ini diikuti tujuh tahun kemudian daripada 56 kepada 58 tahun (2008) dan 58 kepada 60 tahun pada 2011,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Adnan mengulas cadangan Wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Firas Raad, supaya meneliti semula dasar mengenai had usia persaraan berikutan status negara yang mungkin mempunyai masyarakat berusia pada masa akan datang.
Adnan dalam pada itu berpandangan sebahagian besar individu dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas kebiasaanya berdepan dengan beberapa kekangan berkaitan pekerjaan termasuk faktor kesihatan selain perlu mengadaptasi teknologi baharu yang semakin canggih.
Beliau berkata, ketetapan untuk mengekalkan had usia persaraan perkhidmatan awam juga mengambil kira pelbagai pertimbangan lain termasuk memberi peluang pekerjaan kepada lebih banyak golongan muda yang berkemahiran dan berbakat.
“Kemasukan kakitangan muda sudah pasti sedikit sebanyak menyumbang kepada peremajaan sistem perkhidmatan awam sesuai dengan keadaan semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Adnan juga berharap kerajaan meningkatkan had gaji minimum ke tahap yang lebih baik untuk mengatasi situasi kebimbangan pekerja yang tidak mempunyai pendapatan yang cukup selepas bersara kerana masih lagi perlu membayar pinjaman perumahan.