3 DIS: Kerajaan telah melaksanakan pelbagai tindakan penting dengan segera bagi menjadikan institusi koperasi sebagai salah satu platform mengatasi masalah kemiskinan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, terdapat lebih daripada 100 koperasi yang mempunyai prestasi tinggi dan 20 peratus koperasi yang mempunyai kebolehan.
Namun hakikatnya, kata beliau, sebanyak 80 peratus daripada ahli-ahli koperasi terbabit merupakan golongan B40 yang perlu dibantu agar mampu meningkatkan pendapatan bulanan.
“Inilah nak tekankan penjelasan membangkitkan koperasi iaitu pertama untuk pendapatan koperasi besar yang berpuluh juta, beratus juta (keuntungan) demikian dapat turun ke bawah kepada ahli-ahli. Bukan koperasi sahaja kaya tetapi ahlinya akan berpendapatan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen PH Ipoh Timur, Wong Kah Woh dalam perbahasannya membangkitkan tentang peranan koperasi dalam membantu menangani masalah kemiskinan.
Sementara itu, menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dalam perbahasannya tentang tindakan MEDAC dalam mewujudkan peluang pekerjaan terhadap graduan, Wan Junaidi memberitahu pihaknya telah melaksanakan dua program iaitu Program PROTEGE dan Program Technopreneur.
Beliau berkata kedua-dua program ini amat bertepatan dalam melatih graduan mendapatkan pekerjaan dan latihan-latihan yang bersesuaian dengan syarikat-syarikat yang lebih besar yang mampu membuka peluang kepada mereka untuk menjadi usahawan apabila tamatnya program tersebut.
“PROTEGE sekarang hanya melatih untuk bekerja dengan syarikat besar, GLC dan sebagainya dengan gaji yang cukup sebagai permulaan dan selepas latihan industri habis, mereka akan melihat, membuat penilaian untuk diterima sebagai pekerja tetap. Saya dimaklumkan hampir 60 peratus graduan menjadi pekerja tetap dalam syarikat tersebut.
“Ini di luar apa yang kita laksanakan sebagai kerjasama yang ditermeterai oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan MEDAC yang selepas ini bakal dilaksanakan pada 2021 ini dan melihat bersama pihak KPT untuk melihat apakah program-program yang dianggap sesuai oleh KPT dan akan dilaksanakan menerusi agensi saya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH