3 DIS: Pasukan perubatan peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertindak segera memberikan rawatan kecemasan kepada seorang mangsa kemalangan jalan raya berhampiran Jalan Pasir Pelangi, Johor Bahru, pagi tadi.
Anggota paramedik bersama juruteknik perubatan kecemasan yang ketika itu dalam penugasan mengiringi baginda kemudian memberhentikan ambulans untuk memberikan rawatan kepada mangsa, sebaik sahaja melihat kemalangan tersebut.
Mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala akibat kemalangan kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan susulan.
Sultan Ibrahim dalam titah baginda sentiasa mengingatkan pasukan berkenaan supaya membantu mereka yang memerlukan.
“Saya pesan kepada mereka, semasa bertugas mengiringi jika berlaku apa-apa kemalangan kepada orang awam, segera membantu dan juga berikan bantuan yang sewajarnya.
“Dalam keadaan sebegini, lupakan saya, segera bantu mereka yang memerlukan bantuan,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Ambulans peribadi Sultan Johor dilengkapi dengan pelbagai aspek klinikal seperti mesin bantuan hayat, mesin bantuan pernafasan, alat defibrilator luaran automatik (AED) dan mesin bantuan pernafasan automatik, termasuk peralatan bantuan rawatan luka kebakaran dan peralatan asas bantuan kemalangan jalan raya.