3 DIS: Pelaksanaan levi pelbagai peringkat bagi penggajian pekerja asing yang sepatutnya dimulakan 1 Januari tahun depan, ditangguhkan sehingga 1 Julai 2021.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengambil kira penularan wabak COVID-19 yang ternyata menjejaskan pertumbuhan industri dan membantutkan operasi perniagaan.
“Kajian semula ini turut membabitkan kadar levi pelbagai peringkat untuk setiap sektor bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Sementara itu, Hamzah berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan cadangan menutup penggajian pekerja asing bagi Subsektor Beku Logam/Barang Lusuh Kitar Semula.
“Mesyuarat bersetuju supaya penggajian pekerja asing ini ditutup secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun lagi berdasarkan kepada keutamaan pekerja tempatan, pengurangan pelesenan dan transformasi sektor ke arah mekanisasi serta automasi,” katanya.
Katanya, mesyuarat terbabit secara dasar turut bersetuju untuk meneliti cadangan supaya majikan daripada kalangan syarikat besar dibenarkan membiayai kos penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di depot.
“Sebagai timbal balik, syarikat berkenaan akan diberikan kuota penggajian pekerja asing yang baharu melalui tapisan ketat prosedur operasi standard COVID-19.
“Nisbah 1:1 iaitu untuk setiap PATI yang dihantar pulang, mereka boleh mendapat seorang pekerja asing dari kalangan tahanan di depot jika memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.