3 DIS: Permohonan memiliki senjata api dalam kalangan pengusaha tanaman sentiasa ditapis secara teliti oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan hanya mereka yang berkelayakan sahaja yang mampu memilikinya dan tiada penyalahgunaan terhadap lesen itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sentiasa mempunyai garis panduan yang komprehensif bagi menimbang setiap lesen dan permit senjata api yang tertakluk pada Akta Senjata 1960.
Menurut beliau, kelulusan permit senjata api secara beli baharu atau pindah milik akan dipertimbangkan dengan berhati-hati dan ketat kerana senjata api mempunyai risiko yang mampu mengakibatkan kehilangan nyawa.
“Oleh itu, hanya individu yang benar-benar memerlukan dan berkelayakan yang akan diluluskan pemilikan lesen atau permit senjata api. Untuk makluman Yang Berhormat, setiap permohonan untuk mendapat lesen atau permit senjata api perlu mendapat tapisan yang rapi oleh PDRM.
“Bagi permohonan senjata api untuk tujuan membasmi musuh tanaman hendak memenuhi syarat, antaranya seperti berikut (iaitu) melepasi tapisan keselamatan dan sahsiah, memiliki fizikal dan tahap kesihatan yang baik, keterampilan diri, bergantung hidup dengan hasil pertanian, menetap di kawasan berkenaan dan mengalami kerosakan hasil serius,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Hamzah menjawab soalan Ahli Parlimen BN Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria sama ada kementerian akan memberikan sedikit kelonggaran syarat permohonan lesen senjata api kepada pengusaha tanaman yang ingin memiliki lesen bagi menguruskan musuh tanaman seperti babi dan monyet.
Beliau memberitahu, bagi pemilik yang mempunyai musuh tanaman namun tidak mempunyai lesen dan permit senjata api, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada pelesen senjata api dan penguat kuasa dalam menyelesaikan permasalahan ini daripada berlarutan yang boleh menjejaskan tanaman.
“Bagi pemilik kebun yang tidak memiliki atau tidak dipertimbangkan lesen atau permit memiliki senjata api, sekiranya mereka mempunyai masalah ancaman musuh tanaman, saya mencadangkan mereka mendapatkan bantuan dari pelesn senjata api setempat, Jabatan Perhilitan atau anggota RELA setempat untuk membantu mengatasi masalah ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH