4 DIS: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan Kementerian Pertahanan, mengabaikan kebajikan anak Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya yang meninggal dunia, lebih setahun lalu.
Untuk rekod, Allahyarham Mohd Zahir yang juga anak bekas pelawak dan pelakon terkenal A.R Badol meninggal dunia selepas terkena tembakan ketika melakukan aksi demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, pada 4 September 2020.
Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad, menegaskan Kementerian Pertahanan tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan tanggungan warga ATM yang telah menamatkan perkhidmatan, bersara mahupun meninggal dunia berdasarkan peraturan sedia ada yang berkuat kuasa.
“Bagi kes Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd Zahir, Kementerian Pertahanan telah menyalurkan segala bentuk bantuan seperti yang diperuntukkan dalam peraturan sedia ada.
“Tidak timbul isu mengenai pembayaran kerana bayaran Ganjaran, Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR), Pencen Terbitan, Pencen Orang Tanggungan dan Ex Gratia Orang Tanggungan (EXOT) telah dibayar oleh JHEV ATM secara One Off dan bulanan kepada ibu, balu dan 5 anak (2 anak tiri dan 3 anak kandung) Allahyarham mulai bulan Oktober 2019 lalu,” katanya dalam satu sidang media khas hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkarnain berkata kementerian dan ATM juga sudah melaksanakan tanggungjawab setelah menerima laporan daripada Hasil Lembaga Siasatan oleh Tentera Darat Malaysia yang mengklasifikasikan bahawa insiden tersebut sebagai kemalangan dalam latihan ketika menjalankan tugas.
Bagaimanapun, Dzulkarnain berkata ketetapan pengagihan melibatkan wang sumbangan orang ramai dan Insurans kepada orang tanggungan Allahyarham adalah di luar bidang kuasa pihak Kementerian, ATM mahupun JHEV ATM untuk menentukannya.