4 DIS: Di sebalik apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pagi ini, UMNO mahu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu terus dikekalkan.
Berikutan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata semua barisan EXCO Perak juga mestilah diteruskan.
“UMNO berpendirian bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS harus bersama mendokong kerajaan PN Negeri Perak.
“Undi percaya yang berlaku hari ini hanya membabitkan jawatan Menteri Besar Perak sahaja tanpa menggugat status Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Terdahulu, media melaporkan usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menyaksikan beliau hilang kepercayaan daripada majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri tersebut.
Keputusan undi belah bahagi yang dijalankan mendapati sebanyak 48 ADUN tidak bersetuju berbanding 10 bersetuju manakala 1 undi rosak.
Usul tersebut dibentangkan oleh ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim.
Dalam ucapan sebelum sidang DUN ditangguhkan, Ahmad Faizal berjanji akan memastikan proses peralihan jawatan Menteri Besar Perak berjalan lancar.
“Dalam waktu ini kita menghadapi keadaan yang tidak menentu, masalah ekonomi, masalah pekerjaan dalam kalangan rakyat dan sebagainya, masalah politik ini tak perlu kita panjang-panjangkan.
“Saya selaku Menteri Besar buat masa ini ingin memberi komitmen untuk memastikan transisi kepada kerajaan yang baharu akan dibuat dengan penuh berhemah demi kepentingan rakyat,” katanya.
PAS pula memutuskan tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu berikutan keputusan usul undi percaya yang menyaksikan Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan majoriti di DUN Perak hari ini.