4 DIS: PAS memutuskan tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu berikutan keputusan usul undi percaya yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Perak menyokong usul tersebut.
Menurut beliau, sokongan itu adalah selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Lajnah Politik PAS Pusat.
“Meskipun demikian, PAS akan berperanan sebagaimana biasa di peringkat negeri mahu pun nasional,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Keputusan undi percaya terhadap Ahmad Faizal dalam sidang DUN Perak hari ini yang menyaksikan majoriti ADUN di negeri itu hilang kepercayaan terhadapnya.
Keputusan undi belah bahagi yang dijalankan mendapati sebanyak 48 ADUN tidak bersetuju berbanding 10 bersetuju manakala 1 undi rosak atau berkecuali.
Usul tersebut dibentangkan oleh ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim.
Tiga ADUN PAS di Perak ialah Razman Zakaria (Gunung Semanggol), Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah). – Oleh HUSSAINI AMRAN