4 DIS: Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan pembukaan semula pintu sempadannya kepada pengunjung dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata pelawat luar Sabah hanya memerlukan laporan negatif ujian swab COVID-19 yang dibuat tiga hari sebelum bertolak.
Syarat yang lebih longgar itu ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dipersetujui kerajaan negeri sejajar penambahbaikan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara berperingkat.
“Kerajaan negeri bersetuju membenarkan kemasukan individu ke Sabah untuk tujuan sosial. Ia membabitkan kemasukan domestik bagi pemegang MyKad, MyPR, MyKAS; pemegang pas imigresen jangka panjang bukan warganegara yang sah tempoh dan suami atau isteri kepada rakyat Sabah dan tanggungan,” katanya pada sidang media malam ini.
Bagaimanapun, kemasukan orang bukan warganegara yang tidak memiliki pas imigresen jangka panjang wajib mendapatkan kelulusan khas daripada kerajaan negeri.
Masidi berkata, semua individu yang memasuki Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat hanya perlu menjalani calitan ujian pengesanan RT-PCR atau RTK-Ag COVID-19 tiga hari sebelum perjalanan.
Katanya yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, keputusan itu juga adalah usaha kerajaan untuk memulihkan pelancongan domestik secara berperingkat menerusi kemasukan pengunjung dari negeri lain.
“Kita juga mengambil kira ada rakyat Sabah mahu pulang untuk menyambut Hari Krismas pada akhir bulan ini,” jelasnya